Tuesday, March 27, 2012

Dakwaan Miliki Saham 8 Juta, Mana Jawapan @AzminAli ???



Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali didesak supaya menjawab dakwaan berhubung pemilikan saham berjumlah RM8 juta terlebih dahulu sebelum mempertikaikan kos ubah suai pejabat bekas Exco kerajaan negeri Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali.

Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Kedah, Zamil Ibrahim berkata, sehingga kini Azmin belum memberi sebarang maklum balas terhadap laporan yang dibuat oleh bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari kepada pihak berkuasa pada 17 November 2009.

Menurut beliau, rakyat mahu mengetahui bagaimana Azmin dan isterinya, Shamsidar Taharin boleh memiliki pelbagai saham dalam jumlah yang begitu besar sepanjang 1992 hingga 1994.

"Saya percaya pendapatan Azmin sebagai Setiausaha Sulit Anwar yang merupakan Menteri Kewangan ketika itu tidak mencukupi untuk membiayai pembelian saham-saham tersebut.

"Azmin mesti menjelaskan dari mana beliau memperoleh wang yang sebegitu banyak, siapa yang memberi wang itu dan apa tujuannya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Zamil berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa mempersoalkan kos pengubahsuaian pejabat bekas Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor itu yang dikatakan mencecah RM300,000, baru-baru ini.

Beliau memberitahu, tindakan Azmin itu juga menunjukkan beliau kurang memahami prosedur berkaitan peruntukan kewangan yang diterima oleh Exco kerajaan PKR Selangor.

"Saya difahamkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah menjelaskan beberapa Exco kerajaan PKR Selangor yang lain turut menerima peruntukan untuk mengubah suai pejabat mereka.

"Di mana-mana negeri pun, peruntukan kewangan yang dimohon oleh Exco perlu dibentangkan untuk kelulusan menteri besar atau ketua menteri terlebih dahulu. Apakah Azmin tidak tahu tentang perkara itu?," soalnya.

Tambah Zamil, Azmin sememangnya tidak layak untuk mempertikaikan integriti Hasan dan beliau dipercayai berbuat demikian semata-mata untuk menconteng arang ke muka bekas Exco itu.

No comments:

MY SLIDESHARE UPLOAD

Blog Archive