Tuesday, March 27, 2012

Isu Air Kelantan : Banyak Sekolah Masih Tak Dapat Bekalan??


Kementerian Pelajaran mengesan sebanyak 77 daripada 585 buah sekolah di Kelantan tidak mendapat bekalan air awam yang diuruskan oleh Syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB). Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, daripada kesemua sekolah yang tidak mendapat bekalan air awam itu, sebanyak 39 sekolah berada dalam kedudukan yang amat kritikal dan memerlukan tindakan sewajarnya. "Pada satu mesyuarat sebelum ini, AKSB telah digesa supaya meningkatkan sistem bekalan air kepada sekolah yang tidak mendapat bekalan air bersih disebabkan tekanan rendah kerana saluran paip bekalan yang kecil dan tidak mampu menampung tekanan tinggi. "Ia adalah sebagai satu inisiatif yang dilakukan oleh pihak kementerian. Selain itu, sekolah terbabit menerima sokongan daripada Jabatan Kesihatan yang memantau kebersihan dan taraf kesihatan bagi penggunaan bekalan air tersebut," katanya menjawab pertanyaan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) pada sidang Dewan Rakyat hari ini. Puad berkata, kementerian berusaha mendapatkan sumber bekalan air daripada punca lain dan akan terus melaksanakannya sebagai langkah menyediakan kemudahan asas sempurna kepada semua sekolah di seluruh negara. Beliau memberitahu, kerajaan negeri telah diberi pinjaman oleh Kerajaan Pusat sebanyak RM567 juta bagi menyelesaikan masalah bekalan air bersih, namun ia tidak juga diselesaikan. "Sehubungan itu, kementerian telah memperuntukkan RM27 juta bagi membina perigi tiub untuk sekolah. Sebanyak 83 buah telah disiapkan dan lapan lagi dalam proses penyerahan," ujarnya. Puad berkata, Kerajaan Pas Kelantan turut dicadangkan menubuhkan jawatankuasa pemandu khusus bagi menyelesaikan masalah air di negeri itu yang masih berterusan. 

No comments:

MY SLIDESHARE UPLOAD

Blog Archive