Sunday, March 10, 2013

DIG @PDRMsia Umumkan Akan Tambah Bilangan Anggota Di #LahadDatu!!


Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya sedang berbincang berkaitan penambahan anggota untuk mempertingkatkan lagi kawalan keselamatan di kawasan terbabit. "Kita akan menaikkan jumlah anggota keselamatan kita di sana. Sebelum ini, Perdana Menteri kita Datuk Seri Najib Tun Razak telahpun mengumumkan Kawasan Keselamatan Khas (SSA) di Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu.

"Jadi kita sedang berbincang mengenai bagaimana kita hendak menubuhkan kawasan keselamatan khas itu dan bagaimana kita hendak mengambil pendekatan dalam mewujudkan kawasan keselamatan khas tersebut," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan cek kepada perwira negara Lahad Datu, Sabah di sini Sabtu.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan pembentukan Kawasan Keselamatan Khas (SSA) di Sabah bagi menjaga kedaulatan dan keselamatan kawasan pantai timur negeri ini.

Kawasan Keselamatan Khas yang berpusat di Lahad Datu itu akan menjadi pusat perintah yang menempatkan beberapa kabin sementara agar dapat berfungsi segera.

Beliau turut berkata moral anggota PDRM yang berada di sana amat tinggi, dan rata-ratanya berasa bertuah kerana dapat menjadi sebahagian pasukan keselamatan itu untuk berjuang dan menyelamatkan Sabah.

Pada majlis itu, Khalid menerima cek bernilai RM30,000 daripada Presiden Gurdwara Pusat Latihan Polis DSP Mender Singh untuk disumbang kepada waris perwira serta anggota yang cedera berikutan pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu dan Semporna.

Dalam ucapannya, beliau berkata sumbangan itu merupakan satu sokongan moral yang sangat tinggi, bukan sahaja kepada waris yang terkorban, tetapi menjadi suntikan semangat kepada para pejuang. "Mereka (pasukan keselamatan) sedang menyerahkan jiwa raga dalam mencurah khidmat bakti dan berjuang bagi mendaulatkan negara di Sabah. "Saya yakin sokongan daripada seluruh rakyat Malaysia tanpa batasan agama, bangsa dan budaya tentulah perwira-perwira kita akan lebih bersemangat dalam meneruskan 'Op Daulat' dalam menghapuskan pengganas yang menceroboh kedaulatan negara kita," katanya.

Khalid mengakhiri ucapan dengan harapan Sabah kembali aman sejahtera dan berharap rakyat negeri itu boleh menjalani kehidupan seperti sedia kala.

Kira-kira 400 orang hadir pada majlis itu, antaranya, kaum Sikh, anggota Angkatan Tentera Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta Jabatan Bomba dan Penyelamat. Kaum Sikh dari seluruh Gurdwara di Malaysia mengadakan upacara doa yang bermula semalam hingga 17 Mac ini agar tiada lagi episod pertumpahan darah melibatkan anggota pasukan keselamatan, dan berharap krisis di Sabah dapat diselesaikan segera.

Turut hadir Pengerusi Bidang Keberhasilan Negara (NKRA) Polis Diraja Malaysia Datuk Wira Ayub Yaakob, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh, dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah. -BERNAMA

No comments:

MY SLIDESHARE UPLOAD

Blog Archive