Bila sebut nama Tun Faisal, orang akan ingat Unit Media Baru atau UMB, satu biro bawah Pemuda UMNO yang kewujudannya untuk memperkasakan perjuangan parti itu di alam siber.
Penyokongnya ramai, seramai penentangnya, di dalam dan luar parti, dua tiga tahun kebelakangan ini, seiring dengan kepesatan media sosial, dan bagaimana medium itu digunakan untuk mengangkat agenda politik, sosoknya jadi kontroversi.
Namanya penuhnya ada sedikit pelik, Tun Faisal Ismail Bin Aziz, ramai yang tertanya-tanya, dari mana datang gelaran Tun itu, dalam satu kesempatan ringkas, Agendadaily bertanyakan beliau soalan yang ramai tertanya-tanya, tapi tiada siapa bertanya secara berdepan itu.
Menurut anak jati Perak ini, Tun di depan nama itu adalah gelaran keturunan sebelah ibunya, Puteri Faizah binti Megat Alias, beliau berasal dari keturanan Megat Terawis di Perak, yang mana mensyaratkan, jika salah seorang ahli keturunan itu berkahwin dengan orang 'kebanyakkan' maka panggal Puteri bagi perempuan ataupun Megat bagi lelaki, digantikan dengan Tun.
Panggal nama itu ada baiknya, mudah kenal saudara, seperti bekas Ketua Polis Selangor Tun Hisan Tun Hamzah dan pendakwaraya kanan Tun Majid Tun Hamzah adalah kaum kerabat beliau.
Itulah kisahnya, ayah beliau, Aziz Bin Pandak adalah seorang guru, begitu juga ibunya. Beliau membesar dalam tradisi keilmuan, dek kerana kedua-dua orang tuanya adalah guru sekolah.
Menurut Tun Faisal, beliau terjun ke dunia politik, atas tekad untuk bersama 'memberikan khidmat kepada negara'.
Jika melihat kepada latar belakang pendidikannya, Tun Faisal merupakan seorang ahli farmasi profesional, berkelulusan ijazah Sarjana Muda Sains Farmasi dari USM pada tahun 1996, beliau pernah menjawat jawatan Ketua Jabatan Farmasi, Selangor Medical Centre, sebelum ditawarkan bekerja dengan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.
"Satu hari, seorang pegawai di pejabat Datuk Hisham yang saya kenali semasa menjadi pemimpin mahasiswa dulu, pujuk saya menyertai pejabat Datuk Hisham (Ketua Pemuda UMNO ketika itu) sebagai pegawai penyelidik dan penulis ucapan.
"Ketika itu tahun 2001, pada mulanya saya berbelah bagi sebab saya dalam proses untuk menyertai sebuah syarikat farmaseutikal multinasional yang menjanjikan kerjaya yang stabil dan gaji lumayan, untuk hanya menjadi pegawai penyelidik, namun kawan itu janji, cuba sebulan dulu, tengok macam mana, jika tak sesuai boleh kembali ke profesion asal saya.
"Saya sahut cabaran tersebut, dan tugas pertama saya tulis kenyataan akhbar Datuk Hisham, dan saya terkejut apabila sebahagian besar daripada input saya digunakan olehnya. Ini menyebabkan saya teruja dan memberi kepuasan diri kerana merasakan saya boleh menyumbang kepada pembentukan dasar-dasar di dalam negara dan parti secara langsung melalui input-input yang diberikan."
"Ia sesuatu yang amat besar kepada anak muda macam saya,"ujarnya.
Menurut beliau, walaupun bertugas sebagai penyelidik dalam pejabat politik Ketua Pemuda UMNO, beliau jenis yang tidak boleh duduk diam dan hanya buat perkara rutin dan yang diarahkan semata-mata.
Secara sukarela beliau melibatkan diri dalam pelbagai biro dan program Pemuda UMNO tanpa sebarang jawatan.
"Saya terlibat dengan Biro Pendidikan di bawah Dr Adham Baba, menjadi urusetia Retreat Ketua-Ketua Pemuda Bahagian di bawah Akademi Pemuda yang diketuai Dr Zambry Abdul Kadir, dan macam-macam lagi termasuk membantu (Datuk) Norza Zakaria dalam Pusat Media Pemuda BN mengendalikan jentera siber Pemuda BN dalam PRU ke 11,".
Alumni Kolej Islam Klang ini mula berjinak-jinak dalam dunia siber pada 1999, melalui chat room, forum-forum di internet, namun pembabitan langsung yang pertama adalah sebagai pengasas cybertroopers Pemuda UMNO, iaitu Pasukan Perang Siber Pemuda UMNO.
Tugas beliau dalam Unit Media Pemuda BN sebagai Ketua Unit Produksi yang menghasilkan bahan-bahan bertulis dan berita sepanjang tempoh kempen PRU 2004 itu.
Selepas PRU 2004, bintangnya bertambah cerah, Datuk Hisham yang baru naik pangkat jadi Menteri Pelajaran kemudian melantik beliau menjadi pegawai khas yang bertanggungjawab atas hal berkaitan dasar-dasar pendidikan.
Minatnya untuk memegang jawatan dalam parti hadir selepas PRU12, ketika UMNO berdepan 'tsunami politik', dan sebagai anak muda, beliau merasakan dapat menyumbang sesuatu kepada parti.
Bermula dengan menyertai pertandingan merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Putrajaya, berlawan dengan penyandang jawatan pegawai khas Perdana Menteri ketika itu Tun Abdullah Badawi, (Datuk) Ahmad Zaki Zahid.
Ia merupakan pertembungan yang sengit, Tun Faisal kalah dengan tiga undi kepada Zaki.
Bagi Tun Faisal, kekalahan di bahagian mempunyai hikmah tersendiri.
"Jika saya menang lawan Zaki di peringkat bahagian, saya telah berjanji kepada diri saya bahawa saya akan hanya memberi tumpuan kepada bahagian dan tidak akan bertanding Exco Pemuda Pusat. Tapi, itulah hikmah dan mungkin lorongan daripada Allah SWT supaya saya dapat menyumbang untuk perkara yang lebih besar...di peringkat yang lebih tinggi."
Kemenangan sebagai Exco Pemuda Pusat pada 2009 membuka laluan baru kepadanya, kembali melakukan apa yang menjadi minatnya sejak awal, 'dunia siber' selepas dilantik oleh bosnya dalam Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin sebagai Pengerusi UMB.
UMB adalah biro baru yang diwujudkan oleh Pemuda UMNO dalam satu mesyuarat pertama di Pusat Latihan UMNO ILMU Janda Baik selepas pemilihan Agung UMNO pada April 2009.
"Selepas mesyuarat tersebut, tugas pertama UMB adalah 'perang siber' dalam PRK Manek Urai Kelantan, dan sejak itu UMB terlibat dalam semua PRK, termasuk Pilihanraya Negeri Sarawak dan PRU13,"katanya.
Bukan mudah untuk menerajui biro baru, kata Tun Faisal, ketika beliau menerajui UMB tahun pertama dihabiskan dengan program latihan 'perkenalan' kepada alam siber untuk jentara UMNO di peringkat akar umbi.
"Jentera UMNO ketika itu terlalu bergantung kepada media tradisi, dalam satu kursus awal, saya bertanya kepada 300 orang ahli UMNO akar umbi yang hadir, saya bertanya siapa pernah baca blog Rockybru (paling popular ketika itu), tak sampai 10 peratus yang angkat tangan...
"Dari situlah UMB bermula, dari 10 peratus..."
Beliau jelas berbangga dengan pencapaiannya semenjak menerajui UMB, sekurang-kurangnya kini, di media maya, UMNO tidak ketandusan blogger, facebooker, mahupun pengguna twitter yang menyokongnya.
Walaupun begitu, bukan semua kredit perlu diberikan pada UMB, ada pihak-pihak lain juga dan UMB sebahagian dari pasukan yang memajukan 'perang siber' untuk UMNO.
Tahun-tahun berikutnya, dalam kursus-kursus UMB, telah disiapkan modul 'perang siber', sehingga April 2013, UMB telah melatih tidak kurang dari 3000, 'tentera maya' untuk UMNO.
"Hakikatnya dalam PRU13, walaupun jentera kita masih ada kekurangan berbanding pembangkang, namun kehadiran jentera kita menangkis serangan pembangkang, terutamanya dalam medium berbahasa Melayu dapat dirasai. Kita agak kekurangan dalam aspek penghasilan video, kepantasan menjawab serangan dan tomahan pembangkang, terutama untuk medium bahasa lain, lebih-lebih lagi bahasa Cina,".
Beliau memberikan contoh, kisah kononnya 40 ribu 'pengundi bangla' dibawa masuk oleh BN untuk mengundi, bagi memastikan pembangkang tewas... yang dibangkitkan oleh ketua pembangkang sendiri beberapa hari menjelang pengundian, dijawab secara tersusun dan sistematik dalam medium bahasa Melayu, tapi mungkin tidak cukup tersebar dalam medium lain, sehinggakan wujud 'fear' dan prejudis di kalangan pengundi Cina, hak rakyat Malaysia untuk mengundi akan 'tergadai' kepada pengundi bangla.
"Sebab itu kita tengok, kaum Cina 'mengamuk' di Klang, pecahkan bas kilang, juga kawasan-kawasan lain, kemungkinan kerana 'ketakutan' yang sengaja diwujudkan pembangkang ini tidak dapat dihapuskan dengan berkesan,"ujarnya.
Kehadiran UMB dirasai oleh jentera siber pembangkang pada PRU13, berbanding ketika PRU12, sewaktu mereka bersenang lenang menyerang UMNO di alam maya tanpa tentangan yang sengit.
Tapi untuk PRU13, bahkan sebelum darinya, di setiap medan, samada PRK, PRN mahupun program khas seperti Perhimpunan Bersih 2.0, 3.0, apapun medannya, tentera maya UMNO 'mengigit', samada UMB atau bukan, akan ada perlawanan di setiap medan, dan UMB yang sentiasa di depan sering menjadi mangsa belasahan.
Pembangkang mengelarnya dengan berbagai gelaran, jika rajin google, kita boleh tengok macam mana Tun Faisal kena maki hamun oleh pembangkang ataupun simpatisannya.
Sehingga ada yang kata beliau menjadi liabiliti pada UMNO, walaupun sebahagian besar menganggap anak jati Perak berusia 42 tahun ini merupakan aset parti.
Bagi Tun Faisal sendiri, beliau sudah 'imun' dengan macam-macam tuduhan orang, apa yang penting, amanah yang diberikan bagi memperkasakan perjuangan parti di alam siber tercapai.
Ada pepatah English mengatakan 'Nobody kicks a dead dog,' atau dalam kata lain, jika kamu tidak 'mengigit' tiada siapa kisah.
Mahu tidak mahu, samada kita kawan atau lawannya, Tun Faisal dan UMB telah 'mengigit' dengan berkesan sepanjang kewujudannya sejak 2009 barangkali atas sebab itu juga beliau mendapat endorsement Pemuda UMNO untuk menawar diri sebagai calon Ahli Majlis Tertinggi.
Dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Pemuda UMNO 4 September lepas, Khairy mengumumkan nama empat calon yang mendapat endorsement pergerakan itu ke peringkat lebih tinggi, Tun Faisal adalah nama terakhir dari ke empat-empat itu.
Wujud juga sedikit kontroversi samada beliau layak atau tidak untuk menawar diri bertanding MT, sedangkan tidak pernah memegang jawatan di peringkat bahagian, bagaimanapun kekeliruan tersebut diselesaikan selepas Jawatankuasa Pemilihan UMNO mengambil kira rayuan dan endorsement sayap parti sebagai merit untuk Tun Faisal bertanding.
"Saya menawar diri untuk bertanding MT bersandarkan pengalaman saya mengendalikan media siber... sebagai orang yang berpengalaman mengendalikan pelbagai operasi siber. Saya yakin tiada di kalangan 62 orang calon MT yang lain mempunyai pengalaman dan kemahiran sebegini. Ini ada medan peperangan yang penting dalam PRU14...
"Elok jika ada golongan muda yang faham dan mahir tentang media siber dan media sosial dapat mengangkat input dan kemahiran ini di peringkat tertinggi parti ini akan membantu parti dalam membuat keputusan betul..."kata calon nombor 60 ini.
Selain itu, menurut Tun Faisal, beliau kini tidak lagi terikat dengan jawatan dalam kerajaan, dan dengan itu boleh melaksanakan gerak kerja parti dan bersuara dengan nada parti.
"Saya bersedia berdepan dengan pemimpin pembangkang di pentas mereka, ada satu ketika, saya terpaksa hadir tiga slot forum bersama pemimpin pembangkang dalam satu hari, dengan pengalaman dan bimbingan pemimpin yang lebih senior dan terlibat dalam pentadbiran kerajaan, saya menawar diri untuk terjun secara langsung ke gelanggang pembangkang, dan menjawab bagi pihak UMNO,"jelas beliau.
Kepada soalan akhir, apakah beliau akan slow down jika ditakdirkan tewas dalam pemilihan MT Sabtu ini, kata Tun Faisal, "Tidak ada istilah slow down atau stand down dalam kamus saya... saya orang perjuangan, menang kalah, ada hikmah, saya akan terus berjuang dalam ruang yang diberikan... "
"Saya tetap akan berjuang walaupun tanpa jawatan. Yang membezakan cuma di peringkat mana. Jika di peringkat MT tentulah sumbangan dan kesannya begitu meluas, jika di bahagian skopnya lebih terhad."
Menurutnya, ramai yang menjadi saksi walaupun tiada jawatan di bahagian beliau tidak pernah tinggalkan bahagian dan terus menyumbang.
"Kalah atau menang, saya tetap istiqamah dalam perjuangan. Kalah atau menang, saya tidak pernah rasa kecewa sebab perjuangan ini bukan tentang saya dan kerana saya, perjuangan ini tentang agama dan bangsa kita, dan niatnya kerana Allah Taala, sebab itu kalah atau menang, ia tetap diteruskan..." - Agenda Daily
No comments:
Post a Comment