Thursday, March 20, 2014

#SelawatPerdana: SETENGAH JUTA UMAT ISLAM DIJANGKA AKAN GEMAKAN #Putrajaya ESOK!!


Seramai 500,000 umat Islam dijangka hadir ke majlis Selawat Perdana Malam Cinta Allah dan Rasul di Dataran Masjid Putra di sini Jumaat ini.

Setiausaha Sekretariat Selawat Perdana, Shahrul Nasrun Kamarudin berkata, Selawat Perdana Malam Cinta Allah dan Rasul itu akan menjadi perhimpunan selawat terbesar yang pernah dianjurkan di negara ini.

Beliau berkata, program anjuran Sekretariat Selawat Perdana dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj) itu akan bermula pukul 7 malam hingga 11 malam dengan pengisian pelbagai program berbentuk keagamaan.


"Majlis Selawat Perdana yang bertemakan Kesatuan, Perpaduan dan Persaudaraan itu akan menampilkan ikon agama dan pendakwah terkenal seperti Habib Syech Abdul Qodir As Seggaf serta Habib Ali Zaenal Abidin dari Indonesia.

"Program itu turut diserikan dengan pelbagai aturcara seperti solat Maghrib dan Isyak berjemaah, zikir terapi, bacaan al-Quran daripada finalis rancangan Imam Muda, tazkirah duet peserta Pencetus Ummah serta majlis ilmu bersama pendakwah terkenal," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Shahrul Nasrun bersama Presiden PPj, Tan Sri Dr. Aseh Che Mat meninjau tapak lokasi Selawat Perdana Malam Cinta Allah dan Rasul di Dataran Masjid Putra.

Menurut Shahrul Nasrun, adalah satu kerugian sekiranya masyarakat negara ini tidak menyertai Selawat Perdana Malam Cinta Allah dan Rasul itu kerana pelbagai program menarik dianjurkan pada malam tersebut.

"Sekarang kita dimaklumkan bahawa penyertaan pengunjung melibatkan seluruh negara, malah ada di antara mahasiswa dari luar negara juga telah menyatakan keinginan untuk hadir.

"Kelainan program itu dapat dilihat melalui penglibatan serta sokongan banyak pihak tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik," katanya.

Selain itu katanya, antara orang kenamaan yang sudah mengesahkan kehadiran pada malam tersebut ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beberapa menteri Kabinet.

"Pengisian yang baharu kami rancang pada malam tersebut ialah solat hajat dan doa selamat untuk memohon supaya pesawat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370 segera ditemui.

"Perdana Menteri akan turut menyertai solat hajat dan doa selamat tersebut yang dijadualkan diadakan selepas solat Isyak," katanya.

Sementara itu katanya, bagi memudahkan perjalanan lalu lintas pihak urus setia akan menyediakan lapan buah bas dengan kekerapan lapan minit sekali di beberapa lokasi termasuk di Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTMB) Serdang dan juga tempat letak kenderaan di Putrajaya.

Dalam pada itu katanya, Selawat Perdana Malam Cinta Allah dan Rasul akan ditayangkan secara langsung di tiga saluran televisyen tempatan iaitu TV1, Astro Oasis dan TV AlHijrah.

"Kita mendapat sokongan banyak pihak termasuk penyertaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan belia terutama daripada pelajar-pelajar universiti tempatan, golongan profesional serta ahli korporat. Kami berjanji tidak akan menghampakan pengunjung," katanya. - UTUSAN

No comments:

MY SLIDESHARE UPLOAD

Blog Archive